Khamis, 20 Disember 2012

Hadis: Melampau.

Dari Anas bin Malik r.a., katanya:
Ada tiga orang laki-laki datang berkunjung ke rumah isteri-isteri Nabi saw. bertanya tentang ibadat beliau. Setelah diterangkan kepada mereka, kelihatan bahawa mereka menganggap bahawa apa yang dilakukan Nabi itu terlalu sedikit. Mereka berkata: "Kita tidak dapat disamakan dengan Nabi. Semua dosa beliau yang telah lalu dan yang akan datang telah diampuni Allah." Salah seorang dari mereka berkata: "Untuk saya, saya akan selalu solat sepanjang malam selama-lamanya." Orang kedua berkata: "Saya akan berpuasa setiap hari, tidak pernah berbuka." Orang ketiga berkata: "Saya tidak akan pernah mendekati wanita. Saya tidak akan kahwin selama-lamanya." Setelah itu Rasulullah saw. datang. Beliau berkata: "Kamukah orangnya yang berkata begini dan begitu? Demi Allah! Saya lebih takut dan lebih bertaqwa kepada Tuhan dibandingkan dengan kamu. Tetapi saya berpuasa dan berbuka. Saya solat dan tidur, dan saya kahwin. Barangsiapa yang tidak mahu mengikuti sunnah ku, tidak termasuk ke dalam golongan ku." - Hadis Riwayat Bukhari.

Selasa, 18 Disember 2012

Hadis:setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang di niatkan

Dari Abu Hafs Umar bin Khattab, Rasulullah S.A.W bersabda : Sesungguhnya setiap perbuatan bergantung kepada niat dan setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang di niatkan. Sesiapa yang berhijrah kerana ingin mendapat keredhaan Allah dan Rasul-Nya, maka dia akan mendapat keredhaan Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dikehendakinya atau kerana wanita yang ingin dikahwininya, maka nilai hijrahnya seperti yang dia niatkan.(HR Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas muncul kerana satu sebab. Masa penghijrahan dari Mekah ke Madinah, para sahabat memberitahu kepada Nabi bahawa ada seorang lelaki yang berhijrah kerana ingin berkahwin dengan wanita yang bernama Ummu Qais. Secara luarannya, dia juga berhijrah sama seperti orang lain namun niatnya berhijrah adalah kerana seorang wanita. Oleh itu, dia digelar sebagai ' Muhajir Ummu Qais ' iaitu orang yang hijrahnya kerana Ummu Qais.

Sabda Nabi s.a.w: “Orang yang awal dibicarakan pada Hari Kiamat seorang yang mati syahid. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia?” Dia menjawab: “Aku telah berperang keranaMU sehingga syahid”. Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau berperang supaya engkau dikatakan berani, dan itu telah pun dikatakan padamu”. Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajahnya sehingga dihumbankan ke dalam neraka.

Datang pula seorang yang lain yang mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca al-Quran. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia?” Dia menjawab: “Aku telah mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca al-Quran keranaMU”. Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau belajar ilmu supaya engkau dikatakan alim dan engkau baca al-Quran supaya engkau dipanggil qari. Itu telah pun dikatakan padamu”. Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajahnya sehingga dihumbankan ke dalam neraka.

Datang pula seorang yang Allah luaskan rezekinya dan telah diberikan pelbagai jenis harta. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia? Dia menjawab: “Aku tidak tinggal satu jalan pun yang Engkau suka untuk didermakan melainkan aku telah pun menderma padanya keranaMU”. Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau lakukan supaya engkau dikatakan pemurah, dan itu telah pun dikatakan padamu”. Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajah sehingga dihumbankan ke dalam neraka. (riwayat Muslim).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Perakian@Blog

Firman ALLAH S.W.T:

“Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.”
(Surah al-Hujurat, ayat 6)