Soalan
Surachei Suksuvan a/l Ron wrote:
ASSALAMUA'ALAIKUM UST,
Saya muhammad yusuf surachei b. Abdullah dari kulim, kedah.. Saya adalah saudara baru yang telah convert hampir 4 tahun, saya telah baca beberapa artikel yang telah ust huraikan dalam website ust terutama mengenai isu2 semasa seperti pelaburan internet, asb, dan sebagainya.. Di sini saya ada satu attachment mengenai hukum mematikan hp ketika solat.. Apa pendapat ust tentang perkara ini? Terima kasih.. ..
Jawapan
Wa'alaikumussalam,
Selamat datang ke web saya dan terima kasih atas kesudian membacanya.
Menurut kefahaman saya, hukum mematikan ‘handphone' sewaktu solat jemaah dan solat secara individu adalah wajib (dimestikan).
Ini kerana :-
1) Tegahan dari terpesong minda & hati : Nabi tidak membenarkan umatnya terpesong minda, hati dan wajah semasa menunaikan solat. Tegahan Nabi ini boleh dilihat dari hadith berikut:-
إن الرجل لينصرف وما كتب له إلا عشر صلاته تسعها ثمنها سبعها سدسها خمسها ربعها ثلثها نصفها
Ertinya : " Seseorang yang beransur dari solatnya dituliskan baginya pahala dari persepuluh pahala solatnya, 1/9,1/8, 1/7, 1/6, 1/5, 1/4, 1/3 atau ½ "
( Riwayat Abu Daud dan An-Nasaie , Shohih menurut Ibn Hibban )
فإن هو قام وصلى فحمد الله تعالى وأثتى عليه ومجده بالذي هو أهل وفرغ قلبه لله تعالى إلا انصرف من خطيئته كيوم ولدته أمه
Ertinya : "Sesungguhnya seseorang yang berdiri dan solat serta memuja muji Allah SWT dengan pujian yang selayak bagiNya, serta mengosongkan hatinya bagi Allah SWT kecuali tatkala ia keluar dari dosa-dosanya seperti anak yang baru dilahirkan"
( Riwayat Muslim)
المصلي يناجي ربه
Ertinya : "Sesungguhnya seseorang yang sedang bersolat adalah sedang bermunajat dengan tuhannya"
( Riwayat Al-Bukhari, no 413 ; Muslim , no 551 )
فإذا صَلَّيْتُم فَلا تَلتَفِتُوا , فإنّ اللهَ يَنْصِبُ وَجْهُه لِوَجْهِ عَبْدِهِ فِي صَلاتِهِ مَا لمْ يَلتَفِتْ
Ertinya : "Apabila kamu solat, janganlahkamu menoleh (ke sana sini yakni tidak fokuskan pandangan), kerana Allah SWT mengarahkan wajahNya ke wajah hambanya yang sedang bersolat selagi mana hambanya tidak menoleh ke lain"
( Al-Bukhari dan Abu Daud ; fath AL-Bari , 2/304 )
Justeru, difahami dari zahir dan objektif di sebalik tegahan-tegahan ini, kita akan mendapati mesej baginda SAW amat jelas untuk seseorang menumpukan hati dan mindanya kepada Allah SWT semasa solat. Dengan kumpulan dalil-dalil ini saya kira telah cukup untuk menunjukkan kepentingan dan kewajiban menutup hand phone semasa solat.
2) Tegahan dari menganggu ahli jemaah yang lain
Sebagaimana kita fahami, bahawa bunyi handphone ini mampu mengganggu seluruh ahli jemaah yang sedang menunaikan solat. Terutamanya jika ia bermuzik dengan lagu dangdut, pop, rock yang pelbagai maka sudah tentu dosa pelakunya lebih besar.
Keadaan ini dapat difahami dari tegahan Nabi SAW terhadap umat Islam yang datang ke masjid dengan setelah memakan makanan berbau dan busuk. Nabi SAW besabda :-
من أكل ثوما أو بصلا فليعتزلنا أو قال فليعتزل مسجدنا وليقعد في بيته
Ertinya : Barangsiapa yang makan bawang putih atau merah (yang tidak dimasak dan kuat baunya) maka jauhilah kami atau disebut : jauhilah masjid-masjid kami dan duduklah ia di rumahnya sahaja
( Riwayat al-Bukhari , no 808 )
Pernah juga diriwayatkan oleh Abu Said Al-Khudri r.a bahawa :
Nabi SAW pergi beriktikaf di sebuah masjid lalu kedengaran bunyi bacaan al-Quran yang lantang di dalam masjid, lalu Nabi SAW segera menyelak langsir (kerana rumah nabi di sebelah masjid ) lalu berkata " Setiap kamu hendaklah bertutur secara peribadi dengan tuhanmu, justeru janganlah seorang kamu menganggu yang lain dengan meninggikan suaranya semasa membaca al-Quran "
( Riwayat Abu Daud : 1332)
Kesimpulannya, wajib menutup hand phone semasa solat sendirian dan berjemaah. Sekiranya terlupa dan handphone berbunyi, maka wajiblah bergerak sedikit untuk menutupnya.
Pergerakan
Pergerakan ini tidak membatalkan solat kerana ia adalah pergerakan wajib, sebagaimana Nabi SAW mengizinkan untuk membunuh binatang bisa kecil semasa solat. Diriwayatkan
أن النبي صلى الله عليه وسلم أمر بقتل الأسودين في الصلاة العقرب والحية
Ertinya : Sesungguhnya Nabi SAW mengarahkan agar membunuh dua binatang bias walaupun ketika solat iaitu kala dan ular (jika ia menghampiri ketika solat) ( Riwayat Ibn Majah, no 1235 )
Hasilnya, jelas kita dapat memahami bahawa wajib juga bagi seseorang untuk bertindak ‘membunuh' bunyi handphone nya yang mengganggu jika berbunyi kerana ia amat berbahaya dan merosakkan ketenangan orang sedang solat, sebagaimana bahayanya kala dan ular.
Sekian
Ust Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
Dua tahun kerajaan Madani menguak ke depan
-
*SUSUPAN MALAM*
ALHAMDULILAH kerajaan Madani yang dibentuk atas semangat perpaduan dan
keinsafan politik semua kaum yang ditunggaki PH - BN bersama GRS ...
14 jam yang lalu
0 ulasan:
Catat Ulasan