Menghapuskan kezaliman adalah tugasan penting sesebuah pemerintahan. Menegakkan keadilan adalah tanggungjawab utama pemimpin. Inilah yang termaktub dalam pelbagai nas al-Quran dan al-Sunnah. Nabi s.a.w mengingatkan para pemerintah tentang hal ini, sabda baginda:
“Tiada seorang pemimpin yang memimpin sepuluh orang (dan ke atas) melainkan dibawa datang pada hari kiamat dalam keadaan diikat. Tidak akan melepaskannya melainkan keadilan, atau dia akan dibinasakan oleh kezaliman” (Riwayat Ahmad, Abu Ya’la dan al-Baihaqi, dinilai sahih oleh al-Albani).
Sementara rakyat wajib menyokong segala usaha pemerintah untuk menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman. Begitu juga sebaliknya, pemerintah membantu rakyat menghapuskan kezaliman. Jika berlaku keadaan yang terbalik, sama ada di pihak rakyat ataupun pemerintah, maka tindakan anti-zalim mesti dilakukan sekalipun terpaksa bertembung. Ertinya, jika rakyat berlaku zalim, pemerintah wajib menegakkan keadilan dan menghapus kezaliman tersebut. Begitu juga jika pemerintah berlaku zalim, rakyat wajib menentang kezaliman dan meminta agar ditegakkan keadilan dan hak.
Maka, Nabi s.a.w telah mengingatkan:
“Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)”. (Riwayat Ahmad, al-Nasai, dan al-Tirmidhi, dinilai oleh al-Albani)
Slogan inilah yang diterapkan oleh Saidina Abu Bakr al-Siddiq kepada rakyatnya ketika dilantik menjadi khalifah. Dalam ucapan dasarnya, dia menyebut:
“Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat. Orang yang lemah dalam kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat dalam kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya Allah. Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan RasulNya. Jika aku derhakakan Allah dan RasulNya, maka tiada ketaatan untukku” (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361).
Kita mesti hidup sebagai sebuah masyarakat yang anti-zalim. Berganding bahu setiap pihak dalam negara ini untuk menegakkan tanggungjawab yang besar ini.
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
MindaTajdid
Dua tahun kerajaan Madani menguak ke depan
-
*SUSUPAN MALAM*
ALHAMDULILAH kerajaan Madani yang dibentuk atas semangat perpaduan dan
keinsafan politik semua kaum yang ditunggaki PH - BN bersama GRS ...
10 jam yang lalu
0 ulasan:
Catat Ulasan