Khamis, 8 Disember 2011

Syukur: PAS Tidak Pernah Bina Kasino Dan Kilang Arak

KUALA LUMPUR, 8 Dis: Umat Islam khususnya orang Melayu diseru bersyukur kepada Allah SWT kerana sepanjang pemerintahan PAS di Kelantan dan Terengganu bukan sahaja tidak pernah membina kasino dan kilang arak bahkan tidak terdetik untuk merestuinya.

“Apa yang orang Islam khususnya orang Melayu saksikan kewujudan pusat judi Genting dan kilang arak di negara ini adalah hasil daripada kelulusan yang diberikan oleh kerajaan Umno,” kata Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nazmi Nik Din.

Beliau menyatakan demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar hari ini bahawa PAS hanya berjaya membina satu masjid sepanjang pemerintahannya di Kelantan.

“Bilangan masjid bukan matlamat kita tetapi memakmurkan masjid itulah yang menjadi objektif utama PAS, bahkan Rasulullah s.a.w meletakkan asas bahawa memakmurkan masjid sebagai perkara utama dan mencela masjid yang dibina bukan di atas dasar taqwa kepada Allah, sepertimana yang dirakamkan di dalam Al-Quran tentang masjid dhirar yang dicela oleh Allah kerana dibina bukan kerana Allah.

Alhamdulillah, PAS tidak pernah bina satu kasino dan kilang arak pun.

“Siapa yang bina tempat tersebut di tanahair kita ini?” soalnya.

Beliau juga bertanya siapa yang merasmikan kilang arak di negara ini.

“Semua rakyat khususnya yang beragama Islam sangat tahu tentang hakikat ini,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Jelasnya, Rasulullah s.a.w melarang umat Islam daripada memperkecilkan sesuatu amalan yang maaruf , mungkin ianya nampak kecil pada mata kita tetapi ia sebenarnya memberikan timbangan yang sangat berat pada hari akhirat kelak.

Justeru, katanya Umno sepatutnya memuhasabah diri terhadap perkara maksiat yang telah dilakukan termasuk mengizinkan perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam untuk terus berlaku dalam negara ini.

“Kita harap umat Islam tidak terus memberi kepercayaan kepada Umno lagi dalam PRU 13 yang akan datang kerana kegawatan akhlak yang berlaku pada hari ini sebenarnya berpunca daripada sistem yang tidak berlandaskan Islam,” ujar beliau lagi.

harakahdaily/-

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Perakian@Blog

Firman ALLAH S.W.T:

“Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.”
(Surah al-Hujurat, ayat 6)